Kerajaan diharapkan dapat menyediakan satu rangka tindakan (blueprint) sebagai usaha menghapuskan budaya lumba haram atau mat rempit mengikut keperluan setiap negeri di Malaysia.
Ketua Pemuda Parti Bangsa Malaysia (PBM), Na’im Brundage berkata, langkah tersebut penting memandangkan faktor terjerumusnya anak muda ke dalam budaya itu adalah berbeza bagi setiap negeri dan kawasan.
Menurutnya, ‘blueprint’ juga berupaya menjadi rujukan untuk mengetahui sejauh mana negara berjaya menyekat penularan budaya tersebut kepada generasi akan datang.
“Sekiranya penglibatan semua pihak dapat dicapai, kami percaya, budaya songsang ini akan dapat dihapuskan sama sekali dan mat rempit hanya akan tercatat sebagai satu fasa gelap yang telah pun ditinggalkan seluruh anak muda Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, gejala lumba haram motosikal telah menjadi budaya yang sinonim dengan anak muda Malaysia, khususnya kaum Melayu daripada golongan berpendapatan rendah (B40).
Ujarnya, antara faktornya adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya, kurangnya tempat beraktiviti untuk anak muda dan tiada platform yang sesuai untuk mereka mengembangkan minat serta hobi.
“Justeru, kami mencadangkan agar program pemerkasaan belia dapat dipergiatkan bagi memastikan anak-anak kita tidak lagi terjebak dengan budaya ini.
“Kerajaan diharap dapat menghidupkan semula program seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Rakan Muda dan juga mengadakan program baharu yang berupaya menarik minat belia supaya tidak terjebak dengan aktiviti mat rempit.
“Kita juga menyarankan agar pertubuhan belia, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama mengadakan program atau aktiviti positif yang dapat menarik minat anak muda terutamanya golongan B40, yang menjadi kelompok majoriti terlibat dalam kancah lumba haram di Malaysia,” jelasnya.
Tambah Na’im, meskipun banyak operasi dan sekatan jalan raya dilakukan pihak berkuasa, isu mat rempit dilihat tiada penghujungnya dan akan terus menjadi titik hitam dalam pembangunan sosial negara.
Katanya, ia diburukkan lagi apabila budaya itu dimuliakan sesetengah pihak melalui karya seni seperti filem, lagu dan drama yang seolah-olah mengangkat golongan mat rempit sebagai hero.
“Lebih parah lagi apabila terdapat juga pemimpin politik tanpa segan silu mengangkat pengaruh atau influencer yang bangga mempromosikan budaya jahat ini sebagai ikon permotoran.
“Sedangkan apa yang dilakukan golongan ini amat bertentangan dengan dunia sukan permotoran,” ujarnya.