Sat. Nov 23rd, 2024

Ahli Parlimen PKR Malu Pakatan Harapan Menang Tanpa Integriti

Hassan-Karim
Hassan-Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Hassan Karim dipercayai telah menyuarakan kekecewaannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Harapan secara terbuka dengan ciapan di laman Facebook beliau hari ini.

Puisi di laman Facebook tersebut jelas menunjukkan bahawa beliau kesal dengan keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang kini telah bekerjasama dengan seteru politik mereka Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan, “Semalam aku masih terdengar-dengar, Kau berkata, Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa”.

Di dalam puisi tersebut beliau juga mengaku bahawa beliau malu dengan kemenangan tanpa integriti Pakatan Harapan, “Kini aku malu pada diri sendiri, Ketika menang tanpa integriti seperti ini”. Buat masa ini, masih tidak diketahui samaada YB Hassan Karim akan melepaskan jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen selepas menyuarakan kekecewaaan kepada kepimpinan parti beliau hari ini.

Berikut sajak penuh YB Hassan Karim:

PUISI
KUSIMPAN RISALAH REFORMASI DI DALAM PETI
Semalam aku masih terdengar-dengar
Kau berkata
Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa
Maka, aku pun percaya
Lalu aku kumandangkan suara keyakinanku
Ke setiap penjuru tanahair tercinta ini
Ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah
Ke tanah datar aku berbicara
Bahawa hidup ini hanya sekali
Maka marilah kita rakyat marhaen,
warga bawahan rakyat jelata,
Demi keadilan kita bersama,
aku seru
Kita bawa perubahan hakiki
yang kita panggil reformasi
Tetapi hari ini aku dikejutkan
Dengan istilah-istilah asing sama sekali
Aku mendengar orang berkata
tentang Machiavellian dan realpolitik
Lalu tersentaklah aku dari mimpi ngeri
Justeru, aku merayu kepada sahabatku,
Berkata luruslah di luar dan di dalam hati
Apakah benar?
Yang lurus itu dakwah,
Politik ini bengkang bengkok rupanya?
Naif sungguh aku ini
Lurus bendul selama ini
Setelah terbangun dari mimpi
Aku ambil peti kayu di tepi katil tidurku
Lalu aku lipat dan kusimpan
Segala risalah dan teks ucapanku
Yang menyeru reformasi, reformasi,
Hampir suku abad, selama ini
Kini aku malu pada diri sendiri
Aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi
Separuh jiwaku telah mati
Aku merasa tewas
Ketika menang tanpa integriti seperti ini


HASSAN ABDUL KARIM
Pasir Gudang
Isnin 05 Disember 2022

Related Post