Fri. Oct 4th, 2024

Muhyiddin Yassin Bidas Tuduhan Seleweng RM600 Bilion

TSMY
TSMY

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membidas tuduhan-tuduhan yang telah dilemparkan kepada beliau berkenaan penyelewangan dana RM600 bilion ketika beliau memegang tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri.

Hujah pertama yang diutarakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kebanyakan daripada perbelanjaan Pakej Ransangan Ekonomi yang bernilai RM530 bilion tersebut bukanlah perbelanjaan kerajaan tetapi ianya adalah duit yang dipegang oleh bank ataupun individu, oleh itu beliau sebagai Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa bagaimana wang tersebut dibelanjakan.

“Daripada keseluruhan RM530 bilion ini, sebahagian besarnya adalah berbentuk non-fiskal, iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan. Ini termasuk pengeluaran KWSP i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 bilion, pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion, moratorium bayaran pinjaman bank untuk individu dan syarikat bernilai RM180 bilion, jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion dan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan.”

“Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan. Saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini.”

Bagi jumlah yang menggunakan wang kerajaan sebanyak RM83 bilion pula telah dimasukkan terus kepada akaun bank penerima yang layak dan tidak mungkin boleh diselewengkan ke dalam akaun bank peribadi beliau.

“Menurut kenyataan Menteri Kewangan pada 29 Jun 2021, perbelanjaan yang melibatkan wang kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal pula bernilai RM83 bilion. Ini termasuk perbelanjaan untuk pembelian vaksin bernilai RM5 bilion dan pelbagai bentuk bantuan langsung tunai untuk rakyat seperti subsidi upah bernilai RM20.92 bilion, Bantuan Prihatin Nasional bernilai RM18.2 bilion, Geran Khas Prihatin bernilai RM4.21 bilion, Geran Khas Prihatin Permai bernilai RM842,000,000, Skim Pembiayaan Mudah Bumiputera bernilai RM500,000,000 dan bantuan-bantuan lain yang dimasukkan terus ke akaun penerima yang layak.”

“Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya.”

Di dalam kenyataan yang sama Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat menegur kerajaan campuran Pakatan Harapan & Barisan Nasional yang kini aktif menggunakan institusi polis untuk menekan pemimpin-pemimpin dari pihak pembangkang.

“Nampaknya, baru beberapa hari menjadi kerajaan, PH tanpa segan silu telah menggunakan pihak polis untuk menekan pemimpin yang tidak sehaluan dengan mereka. This is a clear attempt at silencing dissent. Ini berbeza sekali dengan janji reformasi institusi mereka untuk menjamin kebebasan institusi-institusi penting negara tanpa campur tangan politik termasuk PDRM.”

Kenyataan penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh didapatkan di laman Facebook beliau: https://www.facebook.com/ts.muhyiddin

Related Post