Fri. Oct 4th, 2024

KDNK Merosot: Kerajaan Gagal Mengurus Ekonomi Negara

Pertumbuhan ekonomi sesebuah negara yang sering diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merupakan petunjuk utama kesihatan ekonomi negara. Khalayak awam harus sedar bahawa Malaysia telah mengalami penurunan pertumbuhan KDNK secara berterusan selama tiga penggal berturut-turut sejak pembentukan Kerajaan MADANI yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim:

Penggal Ketiga 2022: 14.1%
Penggal Keempat 2022: 7.1%
Penggal Pertama 2023: 5.6%
Penggal Kedua 2023: 2.9%

Penurunan pertumbuhan KDNK secara tiga penggal berturut-turut ini adalah bukti nyata kegagalan Kerajaan dalam mengurus ekonomi negara. Penurunan KDNK dari satu penggal ke penggal yang seterusnya bukan sahaja mempengaruhi hala tuju ekonomi negara, tetapi juga memberi impak negatif kepada kehidupan harian rakyat.

Dasar Ekonomi Tanpa Hala Tuju yang Jelas
Tindakan serta dasar-dasar ekonomi yang tidak konsisten dan sering berubah oleh Kerajaan telah mengakibatkan keraguan di kalangan pelabur asing. Ini menyebabkan pelaburan langsung asing telah berkurangan dan kini jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara jiran.

Ketiadaan Menteri Kewangan yang Khusus
Ketidakmampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik Menteri Kewangan yang khusus telah menyebabkan keputusan penting mengenai kewangan negara kurang mendapat tumpuan. Pengurusan kewangan negara memerlukan perhatian serta kepakaran khusus; ia tidak seharusnya terletak di bawah tanggungjawab Perdana Menteri yang telah mempunyai beban kerja yang sangat berat.

Usaha Mengurangkan Defisit Fiskal Kerajaan
Mengurangkan defisit fiskal memang suatu langkah yang wajar, namun perlaksanaannya perlu dilaksanakan dengan bijaksana. Pemotongan perbelanjaan negara tanpa perancangan yang matang boleh mengganggu perkhidmatan awam, membebankan rakyat, dan membantutkan pembangunan infrastruktur yang pada akhirnya akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Ketiadaan Inisiatif Pembangunan Ekonomi
Buat masa ini, ekonomi negara masih memerlukan suntikan dari kerajaan untuk memulakan projek-projek besar yang dapat mencipta ribuan peluang pekerjaan serta memberikan kesan ganda yang signifikan terhadap ekonomi. Kegagalan dalam merancang dan melaksanakan projek-projek besar ini akan menyebabkan negara kehilangan peluang untuk berkembang, menjadikan Malaysia ketinggalan berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara.

Kegagalan kerajaan dalam menangani isu-isu ini dengan efisien dan berkesan telah memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Pihak kami mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan konkrit bagi memperbaiki situasi ini demi masa depan yang lebih cerah bagi semua rakyat Malaysia.

Na’im Brundage
Ketua Penerangan
Armada BERSATU Parlimen Jasin

Related Post