Fri. Oct 4th, 2024

Ahli Parlimen Bukit Gantang Telah Mengkhianati Mandat Rakyat

Baru-baru ini negara telah dikejutkan dengan berita bahawa 5 daripada ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia telah memilih untuk memberikan sokongan mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang ke-10.

Keputusan 5 wakil rakyat ini dengan jelas telah membelakangkan sentimen pengundi di kawasan parlimen mereka yang telah mengundi mereka sebagai wakil rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, sebuah parti yang tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Malangnya bagi pengundi-pengundi di Bukit Gantang, Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar, dan Labuan Akta Anti Lompat Parti telah gagal daripada memastikan ahli-ahli Parlimen ini daripada bertindak selaras dengan sentimen dan harapan mereka. Kelompongan di dalam Akta Anti Lompat Parti telah digunapakai untuk mengekalkan jawatan ahli-ahli Parlimen ini walaupun tindakan mereka telah mengkhianati mandat yang diberi oleh pengundi.

Ahli-ahli parlimen yang telah mengebelakangkan keputusan parti dan mengkhianati mandat rakyat ini harus mengambil tanggungjawab atas tindakan yang telah dilakukan dengan meletakkan jawatan dan bertanding semula di kawasan-kawasan tersebut bagi membuktikan bahawa mereka masih mempunyai mandat sebagai wakil rakyat.

Armada Jasin juga ingin mengutarakan kekecewaan kami kepada kepimpinan Kerajaan Persekutuan yang telah gagal memberikan peruntukan samarata kepada semua wakil rakyat selaras dengan manifesto mereka ketika pilihanraya umum yang lepas.

Peruntukan kepada ahli-ahli parlimen adalah hak kepada semua rakyat yang hidup di kawasan parlimen kerajaan mahupun pembangkang. Hasil cukai rakyat tidak patut disalahguna sebagai senjata politik untuk membeli sokongan kepada mana-mana kerajaan.

Na’im Brundage
Ketua Penerangan Armada Parlimen Jasin

Related Post