Fri. Oct 4th, 2024

KERAJAAN HARUS ELAKKAN KETIRISAN DALAM PEROLEHAN ASET-ASET FRU

Baru-baru ini Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain telah mengumumkan bahawa Pasukan Simpanan Persekutuan atau lebih dikenali sebagai Federal Reserve Unit (FRU) bakal meperoleh aset-aset baharu bernilai RM21.8 juta.

Perolehan kelengkapan tersebut membabitkan kelengkapan keselamatan anti rusuhan seperti 1,000 unit Protective Armour Body (PAB), 1,000 unit Gas Mask bernilai RM10 juta, 13 laras Sniper Rifle bernilai RM2.3 juta, 10 van tempur bernilai RM3.6 juta, perolehan penggantian 175 laras Riot Gun bernilai RM2.8 juta, empat kenderaan Float Bonded Truck untuk kegunaan Unit Berkuda bernilai RM2.2 juta serta 10 anjing rusuhan bernilai RM900,000.

Pengumuman ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dan persoalan daripada kebanyakan rakyat terutamanya membabitkan keperluan dan harga sebenar item-item tersebut di dalam pasaran dunia.

Sebagai contoh, pengumuman perolehan 13 Sniper Rifle bernilai RM2.3 juta boleh dilihat sebagai agak keterlaluan memandangkan ini bermaksud harga setiap unit Sniper Riffle telah ditetapkan pada harga melebihi RM176,000.

Jumlah tersebut jauh mengatasi harga pasaran Sniper Riffle yang dijual di pasaran dunia dengan harga di lingkungan $8,000 hingga $15,000 (RM37,000 – RM70,000) bergantung kepada model dan spesifikasi.

Sebagai sebuah perbandingan, setiap unit Sniper Riffle yang diperoleh oleh “The New York City Department of Correction” baru-baru ini telah didapatkan pada harga $10,000 (RM47,000). 3 kali lebih rendah daripada perolehan Sniper Riffle yang sedang berlaku di dalam perolehan ini.

Kerajaan Persekutuan harus segera menilai semula harga-harga yang telah ditetapkan untuk perolehan aset-aset FRU ini demi mengelakkan sebarang ketirisan dan pembaziran yang tidak diingini.

Wang cukai rakyat Malaysia yang dipungut hasil penat lelah rakyat tidak wajar digunakan secara semberono memandangkan masih ramai rakyat Malaysia yang sedang bergelumang dengan kemiskinan dan tekanan ekonomi yang melampau.

Na’im Brundage
Ketua Penerangan Armada Jasin

Related Post