Paetongtarn Shinawatra, anak ketiga kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, baru sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri ke-31 Thailand. Pelantikan ini dibuat oleh parlimen selepas Mahkamah Persekutuan Thailand melucutkan jawatan Perdana Menteri Srettha Thavisin kerana melantik seorang bekas banduan sebagai menteri.
Paetongtarn kini menjadi individu ketiga dari keluarga Shinawatra yang memegang jawatan tertinggi di Thailand. Ayahnya, Thaksin Shinawatra, memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dari 9 Februari 2001 hingga 19 September 2006, diikuti oleh mak ciknya, Yingluck Shinawatra, yang berkhidmat dari 5 Ogos 2011 hingga 7 Mei 2014.
Thaksin Shinawatra memiliki pengaruh yang sangat besar dalam politik Thailand, terutama di kawasan Timur yang mempunyai ramai pengundi luar bandar. Walaupun Thaksin sangat popular, politik Thailand seringkali berada dalam keadaan tidak stabil kerana penglibatan langsung Tentera Diraja Thailand dalam politik negara. Kedua-dua Thaksin dan Yingluck digulingkan sebelum tempoh berkhidmat mereka sepatutnya tamat. Thaksin digulingkan pada September 2006 oleh Tentera Diraja Thailand ketika beliau berada di New York untuk menghadiri mesyuarat Perhimpunan Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, manakala Yingluck pula dilucutkan jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa berkaitan penyingkiran ketua keselamatan negara Thawil Pliensri pada tahun 2011.
Pelantikan Paetongtarn Shinawatra ini dengan jelas menunjukkan bahawa amalan dinasti politik masih kuat di rantau ini. Contoh serupa boleh dilihat di Indonesia dengan pelantikan anak bekas Presiden Jokowi Widodo, Gibran Rakabuming Raka, sebagai Naib Presiden termuda, serta di Filipina, di mana Presiden Bongbong Marcos adalah anak kepada bekas Presiden Ferdinand Marcos.
Elemen dinasti politik ini mungkin akan terus memainkan peranan besar dalam arena politik rantau ini. Di Malaysia, kesan politik dinasti juga dapat dilihat apabila Dato’ Seri Najib Razak, anak kepada Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak, dilantik sebagai Perdana Menteri Keenam. Walaupun begitu, pengakhiran karier politik Dato’ Seri Najib di Penjara Kajang jelas menunjukkan bahawa kepimpinan bukanlah sesuatu perkara yang boleh diwarisi.