ARMADA BERSATU Malaysia mengambil maklum bahawa 1MDB telah menarik balik saman terhadap Riza Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak yang sebelum ini didakwa menyalahgunakan dana sebanyak USD 248 juta (RM1.1 bilion) milik 1MDB. Keputusan ini menimbulkan persoalan mengenai komitmen kerajaan dalam mengembalikan semula wang rakyat yang didakwa diselewengkan dalam skandal 1MDB.
Sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan, 1MDB bertanggungjawab untuk menjaga dan melindungi aset negara yang diamanahkan kepadanya. Oleh itu, tindakan menghentikan usaha mendapatkan kembali RM1.1 bilion ini bukan sahaja sangat tidak bertanggungjawab, malah ia juga menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan hari ini. Keputusan ini memberi gambaran seolah-olah pihak yang didakwa terlibat dalam skandal mega boleh terlepas begitu sahaja tanpa sebarang tindakan tegas diambil terhadap mereka.
Jumlah RM1.1 bilion bukanlah kecil dan sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat. Berdasarkan anggaran kos yang pernah dilaporkan kerajaan sendiri, jumlah ini boleh digunakan untuk membina 36 sekolah, 55 klinik kesihatan, 7,333 rumah mampu milik, atau menaja biasiswa untuk 22,000 pelajar yang memerlukan. Namun, sebaliknya, wang ini dibiarkan lesap tanpa sebarang usaha dari kerajaan untuk dipulangkan semula kepada rakyat.
ARMADA BERSATU Malaysia menuntut penjelasan segera daripada 1MDB dan Kerajaan Malaysia mengenai keputusan menarik balik saman terhadap Riza Aziz ini. Kegagalan memberi jawapan hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa wujudnya dua darjat dalam sistem keadilan negara, di mana individu berprofil tinggi seperti anak bekas Perdana Menteri diberikan layanan istimewa sedangkan rakyat biasa dikenakan tindakan tegas undang-undang tanpa sebarang kompromi atau belas kasihan.
Na’im Brundage
Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu
EXCO ARMADA BERSATU MALAYSIA