Fri. Oct 4th, 2024

ARMADA JASIN MENDESAK SIASATAN SEGERA TERHADAP VICTOR YONG JEN ONG

Armada Bersatu Jasin menggesa pihak Polis Diraja Malaysia untuk segera menyiasat sebuah video temubual di antara seorang individu yang mengaku sebagai warganegara Malaysia dan seorang kakitangan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Video yang telah tular di media sosial tersebut telah sedikit sebanyak mengganggu gugat ketenteraman awam dan mengundang pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat negara ini memandangkan ianya jelas bertentangan dengan sentimen hampir keseluruhan rakyat Malaysia.

Video tersebut telah memaparkan seorang lelaki bernama Victor Yong Jen Ong yang telah mencadangkan agar Malaysia dan Israel mewujudkan hubungan diplomatik. Beliau juga telah mencadangkan agar Israel mewujudkan sebuah kedutaan di Malaysia yang jelas bertentangan dengan pendirian negara untuk tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.

Di dalam video tersebut juga Victor telah cuba untuk menyalahkan masyarakat dan organisasi Arab yang didakwanya telah mempengaruhi pemikiran rakyat Malaysia terhadap Israel. Pertuduhan ini jelas adalah cubaan berniat jahat untuk menyebarkan propaganda dan maklumat palsu kepada rakyat Malaysia.

Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat yang berhak untuk menetapkan pendirian hubungan luar negeri harus segera mengambil tindakan tegas terhadap sebarang gangguan dan cubaan dari pihak luar untuk mempengaruhi sentimen rakyat Malaysia terhadap pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku terhadap warga Palestin di Gaza.

Pihak Polis Diraja Malaysia harus segera menjalankan siasatan terhadap ketulenan video yang telah tular tersebut dan individu bernama Victor Yong Jen Ong yang dikhuatiri bersekongkol dengan agen negara Israel untuk menyebarkan berita palsu dan maklumat yang salah di media sosial.

Na’im Brundage
Ketua Penerangan Armada Bersatu Jasin

Related Post