ARMADA BERSATU Malaysia mengecam sekeras-kerasnya cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, YB Low Chee Leong untuk menjenamakan semula “Jalan Hang Tuah” kepada “Jonker Walk 2.0”.
Cadangan ini bukan sahaja dangkal, malah mencerminkan sikap tidak hormat terhadap sejarah, budaya, dan identiti kebangsaan kita. Sebagai seorang wakil rakyat, beliau seharusnya memainkan peranan untuk mempertahankan budaya dan sejarah negara bukannya cuba untuk menggantikan nama sebuah jalan yang berasaskan seorang pahlawan Melayu yang masyhur kepada nama yang berakar dari bahasa Portugis.
Nama Hang Tuah iaitu seorang tokoh pahlawan Melayu yang hebat dan disegani dunia adalah sangat sesuai untuk dikekalkan memandangkan ia mencerminkan identiti dan sejarah negara. Menyisihkan warisan ini semata-mata untuk menarik pelancong luar adalah satu penghinaan yang jelas dan nyata terhadap negara.
Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai budaya yang unik dan tersendiri. Kita tidak perlu untuk menggunakan taktik murahan seperti ini untuk menarik perhatian pelancong. Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan adalah mempromosikan identiti Malaysia yang sebenar, sebuah identiti yang berdiri teguh di atas sejarah, warisan, dan budaya kita sendiri, bukannya tunduk kepada pengaruh penjajah yang pernah membawa kerosakan yang amat dahsyat kepada negara.
Atas dasar ini, ARMADA BERSATU Malaysia membantah sekeras-kerasnya cadangan tersebut dan berikrar untuk menentang sebarang usaha yang boleh melemahkan budaya serta identiti kebangsaan.
Na’im Brundage
Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu
EXCO ARMADA BERSATU MALAYSIA
27 Januari 2024