Fri. Oct 4th, 2024

Insiden Pemandu OKU Dipukul: Persoalan Yang Belum Terjawab

OKU-Dipukul
OKU-Dipukul

Semalam, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan berita bahawa pengiring Tengku Mahkota Johor (TMJ) yang didakwa memukul Ong Ing Keong, seorang OKU Pekak dan Bisu, masih belum dibawa ke muka pengadilan. Kekecewaan Encik Ong jelas tergambar di wajahnya apabila video dashcam yang memaparkan insiden serangan tersebut ditayangkan kepada pihak media.

Kekecewaan itu mungkin hanya akan bertambah selepas beliau membaca kenyataan balas Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Polis Negara, yang mengumumkan bahawa hanya seorang anggota polis telah dikenakan tindakan tatatertib dan sedang disiasat. Jika tindakan hanya diambil terhadap seorang pelaku sahaja, maka jelas Ketua Polis Negara gagal untuk melihat insiden ini secara menyeluruh.

Berdasarkan laporan mangsa, ketika di balai polis, seorang lagi pegawai polis telah menyediakan laporan untuk beliau dan memintanya menandatangani laporan tersebut. Tindakan ini jelas tidak wajar dan berkemungkinan besar melanggar undang-undang, namun kita masih belum mendapat penjelasan sama ada tindakan juga akan diambil terhadap pegawai ini.

Kita juga tidak boleh lupa laporan berkenaan kehadiran seorang ‘wakil istana’ yang didakwa telah menawarkan wang pampasan kepada mangsa semasa beliau berada di balai polis. Sehingga kini, pihak polis masih belum menjelaskan mengapa individu tersebut dibenarkan untuk berunding dengan mangsa di balai polis. Adakah ini suatu amalan biasa di mana polis membenarkan wakil pihak tertuduh untuk berunding dengan mangsa jenayah bagi menarik balik laporan yang dibuat?

Sebagai penguatkuasa undang-undang, pihak polis seharusnya melindungi rakyat seperti En. Ong. Namun, dalam kes ini, beliau telah diserang oleh seorang pegawai polis dan diletakkan dalam situasi tak selesa ketika membuat laporan di dalam balai polis. Insiden ini menunjukkan perlunya pembaharuan yang besar untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi ini.

Na’im Brundage
Pengulas Politik

Related Post