Sat. Feb 22nd, 2025

KENAIKAN MENDADAK BAYARAN HAJI MEMBEBANKAN GOLONGAN B40 & M40

Tabung Haji
Tabung Haji

Pengumuman Tabung Haji mengenai kenaikan kadar bayaran haji bagi jemaah Muassasah kumpulan B40 secara mendadak kepada RM15,000, berbanding kadar semasa RM12,356, adalah amat membimbangkan.

Kadar baharu ini merupakan kenaikan kali kedua sejak tahun 2023, apabila kadar bayaran dinaikkan daripada RM10,980 kepada RM12,356. Secara keseluruhan, jumlah kenaikan kini mencecah RM4,020, bersamaan peningkatan sebanyak 37% dalam tempoh hanya tiga tahun.

Penjelasan Tabung Haji bahawa kenaikan ini disebabkan oleh peningkatan kos penginapan, penerbangan, dan caj perkhidmatan tidak boleh diterima, memandangkan ia bercanggah dengan kenyataan Tabung Haji sendiri yang menyebut bahawa kos keseluruhan haji kekal pada RM33,300 sejak tahun sebelumnya.

Implikasi daripada kenaikan mendadak ini ialah ramai golongan B40 berkemungkinan tidak lagi mampu untuk menunaikan haji, walaupun mereka telah bertahun-tahun menabung di institusi tersebut dengan harapan untuk menunaikan ibadah ini. Dengan peningkatan bayaran haji yang naik mendadak setiap tahun, besar kemungkinan harapan itu akan kekal hanya sebagai harapan.

Kerajaan perlu bertindak segera untuk mengembalikan subsidi haji yang telah dipotong bagi memastikan rakyat tidak hilang kepercayaan terhadap institusi Tabung Haji. Kehilangan kepercayaan terhadap Tabung Haji boleh membawa implikasi kewangan yang besar kepada institusi tersebut, memandangkan kedudukan kewangannya bergantung kepada wang simpanan jangka panjang umat Islam yang menyimpan dengan harapan untuk menunaikan haji suatu hari nanti.

Kerajaan juga perlu segera mengambil langkah tegas dengan mengurangkan penglibatan lantikan politik dalam pengurusan Tabung Haji dan anak syarikatnya. Ini penting bagi memastikan pengurusan dan pelaburan Tabung Haji dapat dijalankan secara telus, cekap, dan bebas daripada pengaruh politik demi kepentingan pendeposit dan bukan kepentingan politik.

Na’im Brundage
Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu
EXCO ARMADA BERSATU MALAYSIA
17 Disember 2024

Related Post