Pengumuman oleh YB Akmal Nasir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, bahawa Malaysia tidak akan merunding semula kadar air mentah ke Singapura buat masa ini adalah amat mengecewakan.
Kenyataan ini menimbulkan persoalan sama ada Timbalan Menteri tidak mempunyai maklumat yang lengkap tentang isu ini atau memilih untuk mengabaikan kepentingan negara. Alasan beliau bahawa kos merawat sendiri air mentah adalah lebih tinggi berbanding membeli terus dari Singapura mungkin benar, tetapi ia tidak mencerminkan keseluruhan konteks perjanjian yang berat sebelah ini.
Memang benar, kos rawatan RM1.80 untuk setiap meter padu adalah jauh lebih mahal daripada harga air terawat yang kini dibeli pada kadar 50 sen untuk setiap seribu gelen. Anggaran kos bagi mendapatkan air terawat sebanyak 16 Juta gelen sehari (MGD) ini akan meningkat daripada RM2.9 juta setahun kepada RM39.7 juta setahun, satu kenaikan sebanyak RM36.8 juta.
Namun, kenaikan kos ini boleh diimbangi jika harga air mentah sebanyak 250 Juta gelen sehari (MGD) yang dijual ke Singapura dinaikkan dari 3 sen setiap seribu gelen kepada 60 sen setiap seribu gelen seperti yang pernah dipersetujui oleh Singapura pada 15 Ogos 2000 dalam pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kanan Singapura ketika itu.
Dengan peningkatan ini, Malaysia boleh meraih pendapatan tambahan sebanyak RM54.7 juta setahun, menghasilkan keuntungan sebanyak RM14.9 juta selepas mengambil kira peningkatan kos merawat air sendiri. Persoalan penting untuk YB Timbalan Menteri ialah, mengapa Malaysia, sebuah negara berpendapatan pertengahan, harus terus memberikan subsidi sebanyak RM52 juta setahun kepada Singapura, sebuah negara maju?
Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak meneruskan perundingan bersama Singapura bagi mendapatkan perjanjian yang lebih adil hanya akan merugikan rakyat, khususnya di negeri Johor, yang sepatutnya dapat menikmati manfaat daripada hasil sumber alam negeri tersebut.
Na’im Brundage
Pengarah Komunikasi
ARMADA BERSATU MALAYSIA
3 Disember 2024