Fri. Oct 4th, 2024

Pelantikan Jawatan Ahli Kabinet Adalah Kuasa Prerogatif Perdana Menteri

Perdana Menteri Ismail Sabri
Perdana Menteri Ismail Sabri

Desakan Timbalan Menteri Perpaduan Negara YB Senator Wan Ahmad Fayhsal untuk jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dikosongkan YB Datuk Zuraida Kamaruddin susulan beliau meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia adalah tidak wajar dan mampu mengugatkan kestabilan kerajaan Keluarga Malaysia.

Selaku seorang Timbalan Menteri, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal seharusnya lebih peka akan kandungan Perlembagaan Persekutuan yang telah jelas menyatakan bahawa pelantikan jawatan ahli kabinet adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri.

Oleh itu, keputusan untuk menerima ataupun menolak peletakan jawatan YB Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Ahli Kabinet adalah di dalam bidang kuasa dan hak mutlak tunggal Perdana Menteri Malaysia, YB Dato’ Sri Ismail Sabri. Beliau berhak untuk membuat keputusan berikut tanpa sebarang campur tangan mana-mana individu.

Selain itu, tuntuan YB Wan Ahmad Fayhsal untuk jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi diisi calon baru dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk memenuhi kuota yang pernah diberikan kepada parti tersebut adalah amat mengecewakan sekali.

Memandangkan kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bertanggungjawab atas industri-industri yang menjadi sumber mata pencarian beratus-ratus ribu warga negara, pelantikan penyandang jawatan yang amat penting di dalam kementerian itu seharusnya dibuat berdasarkan merit dan prestasi dan bukan bersandarkan kuota semata-mata.

Segala pencapaian, jasa, dan khidmat bakti YB Datuk Zuraida Kamaruddin ketika beliau menerajui kementerian tersebut haruslah menjadi pertimbangan jika ingin ditentukan sama ada kementerian tersebut harus terus diterajui oleh beliau atau tidak.

Related Post