ARMADA Bersatu Malaysia mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan penjelasan menyeluruh berhubung pengumuman bahawa tiada unsur jenayah dalam projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bernilai RM4 juta yang dikaitkan dengan pelakon Afdlin Shauki.
SPRM perlu segera menjelaskan rasional di sebalik keputusan untuk tidak mengambil tindakan jenayah memandangkan kes ini berprofil tinggi dan melibatkan jutaan ringgit wang cukai rakyat. Ketiadaan penjelasan terperinci boleh menimbulkan persepsi bahawa wujudnya layanan dua darjat dalam siasatan SPRM, terutama apabila individu yang terlibat memegang jawatan politik yang tinggi dalam parti kerajaan sebagai Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan Parti Keadilan Rakyat.
Lebih membimbangkan, DBKL dikawal selia oleh Jabatan Perdana Menteri yang dipimpin oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri, yang juga memegang jawatan sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat, parti politik yang sama dengan individu didakwa terlibat dalam salah laku projek DBKL ini.
Pihak SPRM & DBKL juga perlu jawab semua persoalan-persoalan yang telah timbul selepas dokumen perjanjian membabitkan skandal ini telah didedahkan oleh Edisi Siasat:
1. Apakah justifikasi pemberian kontrak bernilai RM4 juta secara rundingan terus tanpa melalui proses tender terbuka?
2. Apakah langkah-langkah yang diambil untuk menilai potensi konflik kepentingan, memandangkan individu yang terlibat merupakan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur dan juga mempunyai peranan dalam syarikat yang menerima kontrak tersebut?
3. Apakah alasan di sebalik penyataan jumlah RM4 juta tersebut sebagai ‘sumbangan’ dalam perjanjian projek ini?
4. Mengapa kontrak yang berkaitan dengan penghasilan kandungan media dan siaran radio disalurkan kepada sebuah kelab sukan dan kebajikan yang tidak mempunyai kaitan dengan industri media?
5. Apakah kelemahan dalam garis panduan tadbir urus DBKL yang dirujuk oleh SPRM, dan adakah kelemahan tersebut telah menyebabkan kerugian dana awam?
Terdapat juga laporan sebelum ini yang menyatakan bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah, pernah menghentikan sebuah projek lain bernilai RM7 juta yang melibatkan individu yang sama kerana kosnya dianggap terlalu tinggi serta berpotensi untuk tidak memenuhi prosedur perolehan yang ditetapkan.
Berdasarkan perkembangan ini, adalah wajar bagi pihak kerajaan untuk menilai semula semua lantikan politik dalam DBKL bagi memastikan individu-individu yang memegang jawatan penting di dalam agensi tersebut memiliki integriti yang tinggi dan dapat melaksanakan tugas yang melibatkan peruntukan awam dengan telus dan bertanggungjawab.
Na’im Brundage
Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu
EXCO ARMADA BERSATU MALAYSIA